Dalam kehidupan yang penuh dengan cabaran dan tentangan, mahasiswa amat perlu memperkuatkan akidah supaya tidak terpengaruh dan terjerumus ke dalam unsur-unsur negatif. Benteng akidah ini menjadi lebih penting lagi kerana sekarang ini terdapat ideologi, ajaran- ajaran serta pemahaman akidah yang menyesatkan seperti syiah, liberalisme, sosialisme, komunisme, tuhan Harun, ayah Pin, al-Arqom dan seumpamanya. Hal ini dapat dilihat melalui ceramah berkaitan isu-isu tersebut serta kempen-kempen yang telah dijalankan.

  Amar Ma'ruf dan Nahi Munkar

Pihak masjid mempunyai kuasa untuk menjemput atau memanggil pihak yang melakukan kesalahan untuk memberi nasihat tentang salah-laku warga KUIS yang bertentangan atau bercanggah dengan Islam iaitu di bawah Biro Amar Maaruf Dan Nahi Munkar (BADAR) Merupakan satu biro khusus dalam Jawatankuasa Masjid Al-Azhar.Tanggungjawab utama adalah untuk menguatkuasa undang-undang dan peraturan di dalam Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. BADAR di anggotai oleh pegawai, pensyarah dan pelajar KUIS. Ianya di ketuai oleh Ustaz Safwan bin Ahmad. Manakala Ahli Jawatankuasanya ialah Ustaz Saifulah Samsudin dan Ustaz Syarul Azman daripada Akademi Islam KUIS serta En.Che Wan Shamsul Bahri C.W. Ahmad daripada Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat.

Manakala Ahli Jawatankuasa dalam kalangan pelajar pula diketuai oleh saudara Muhammad Azli Firdaus bin Che Seman. BADAR berusaha membantu Bahagian Pembangunan Mahasiswa (BPM) dan Bahagian Kediaman Dan Penempatan Mahasiswa BKPM dalam membentuk sahsiah pelajar KUIS sebagaimana yang dinyatakan di dalam Peraturan Tatatertib dan Tarbiyyah Pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) (Pindaan2011), mana-mana pekeliling atau arahan yang berkuatkuasa daripada semasa ke semasa. Di antara program utama BADAR adalah Liqo’dan Iftar BADAR, Bengkel Teori dan Praktikal (Recruit), Ops Jumaat dan Ops Rondaan. Ianya bagi memastikan biah solehah terjaga di KUIS. Operasi rondaan telah dijalankan pada 2 dan 3 April 2014 yang lepas dengan mengeluarkan nasihat dan notis hadir ke BPM bagi tindakan selanjutnya.

  Pusat Kebajikan Islam

Institusi Masjid Al-Azhar dijadikan sebagai pusat kebajikan Islam di mana segala masalah kebajikan orang Islam bolehlah dibawa ke masjid. Dengan kata lain, Institusi Masjid ialah sebuah institusi yang menjaga kebajikan warga KUIS. Sekiranya seseorang pelajar atau staf sakit atau mengalami kesusahan, pihak masjid akan membantu mereka contohnya apabila AJK masjid mendapat berita mereka akan berkunjung ke rumah pihak yang berkenaan, pihak masjid Al-Azhar juga turut terlibat dalam membantu mangsa banjir di Kemaman dan Kuantan di Pahang.

Jawatankuasa masjid juga telah bersetuju untuk memasang kipas besar di bahagian tengah-tengah dewan solat utama. Bagi memberikan keselesaan kepada jemaah masjid, kos pemasangan adalah sebanyak RM 67,000.00. Dana bagi projek pemasangan adalah melalui sumbangan ahli kariah serta beberapa syarikat dan agensi. Kerja-kerja pemasangan bermula pada 14.03.2014 dan siap sepenuhnya pada 24.03.2014.

  Pusat Kutipan Zakat

Masjid al-Azhar dengan kerjasama lembaga zakat Selangor telah menubuhkan pusat kutipan zakat. Ia terletak di satu sudut masjid al-Azhar. Para pembayar zakat boleh menunaikan Zakat Pendapatan, Zakat Perniagaan, Zakat Simpanan, Zakat Saham, Zakat KWSP, Zakat Emas, Zakat Perak, Qada Zakat, Zakat Harta di KUIS tanpa perlu berurusan di luar.

Masjid dalam memainkan fungsi sosialnya ke arah penyatuan mahasiswa memang tidak dapat dinafikan. Ini dapat dilihat melalui implikasi daripada amalan solat berjemaah di masjid contohnya secara tidak langsung akan membawa kepada sifat saling kenal- mengenali dalam kalangan mahasiswa, tersebarnya semangat kasih-sayang, tolong-menolong, bertanggungjawab, berziarah, menyuruh yang baik dan mencegah yang mungkar dalam kalangan mahasiswa. Dengan ini suasana masyarakat Islam yang sebenar dapat diwujudkan di KUIS. Peranan yang dimainkan masjid dalam menyatupadukan mahasiswa dapat dilihat melalui pelbagai program dan aktiviti yang dijalankan seperti majlis memperingati hari kebesaran Islam, majlis berbuka puasa, khidmat masyarakat, aktiviti gotong-royong dan lain-lain lagi.

  Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam

Program-program yang anjurkan adalah bersempena hari-hari kebesaran dalam Islam seperti Sambutan Ma’al Hijrah, Maulidur Rasul dan Israk Mikraj. Sambutan Ma’al Hijrah. Antaranya Gema Cinta Rasul (Ekspresi Cinta Rasul) – pengisian adalah seperti Qasidah, Ceramah: “Aqidah Islamiyyah Pasakan Rasulullah S.A.W.” oleh Ustaz Ahmad Azam (ayah al-syahid Ahmad Ammar), Perarakan: Gema Xpresi Cinta Rasul, Flashmob: Kekasihku Rasulullah, Essay Writing Contest, Public Speaking Competition, Ceramah: “Fattabi’uni Maka Ikutlah Aku” oleh Ustaz Zulkifli, Pertandingan: Video Ohsem KUIS, Gotong-royong Masjid, Nisa’ Got Talent di Audi Pentadbiran, Teater Muzikal Islam: “Aishiteru Ya Rasulullah di Audi Pentadbiran, Qasidah Darul Mustafa, Joran Ria Tasik KUIS dan sebagainya.

  Menjalankan Riadah

Pengenalan Sukan Memanah Traditional (Sunnah) telah diadakan pada sesi pagi untuk alumni DAQIQ 2013 dan pada sesi petang pula terbuka kepada ajk masjid dan umum. Program tersebut dikendalikan oleh Saudara Baihaqi Abdullah yang merupakan alumni KUIS. Para peserta didedahkan dengan teknik memasang busur, disiplin pemanah di tapak sasar dan memanah mengikut tradisi Islam. Antara lainnya adalah Youth Futsal Challenge bertempat di padang KUIS. Let’s Bowldi The Mines, Serdang pada 7 Mac 2014 (Jumaat) sasarannya adalah Mahasiswa KUIS.

  Memartabatkan Wanita

Sempena Hari Wanita yang diadakan pada 8 Mac 2014 bagi meraikan pengorbanan wanita, BHEM telah mengedarkan sebanyak 250 mini kad ucapan “Selamat Hari Wanita” berserta sekeping coklat sebagai tanda ingatan kepada seluruh warga pentadbiran pada 7 Mac 2014. Nisa’ Got Talent di Audi Pentadbiran.

  Memberi Pendedahan Tentang Isu Semasa

Masjid Al-Azhar juga tidak ketinggalan membincangkan tentang isu yang berlaku di dunia Islam. Anatara programnya adalah Himpunan Kesedaran Isu Semasa Syria 2014, Bertempat di Masjid Al-Azhar KUIS. Ia dilaksanakan selepas solat jumaat, Konvoi Bermotor “Peace For Syria” daripada kumpulan Al-Azhar Bikers (ABS) yang diketuai oleh Ketua Exco Lajnah Sukan & Kesenian, Mohammad Amri B. Ali. Titik permulaan ABS dari Masjid Al-Azhar selepas solat Asar sehingga ke destinasi Bandar Baru Nilai, USIM, UKM, Bandar Seri Putra dan Bandar Baru Bangi.

  Dakwah Midani

Dakwah masjid bukan sahaja tertumpu di masjid semata-mata. Oleh itu, Al Azhar Members telah melaksanakan program mereka iaitu Say No To Valentine’s Day yang diadakan di KL Sentral –Midvalley – KTM Bangi pada 14 Februari 2014. Ia melibatkan para pelajar KUIS. Program ini dianjurkan oleh ALAM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Program ini dijalankan adalah untuk menarik minat mahasiswa melibatkan diri dalam dunia dakwah dan turun ke lapangan untuk berjumpa dengan masyarakat. Selain itu, ingin mempraktikkan metod dakwah secara teori dan praktikal sekaligus serta menanam sikap tanggungjawab terhadap agama di kalangan mahasiswa itu sendiri.

Di samping itu, untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tidak kira muslim atau belum bergelar muslim bahawasanya menyambut “Valentine’s Day” di sisi Islam adalah “Haram”. Matlamat program ini juga adalah untuk mendekati dan meyedarkan golongan ini akan keburukan dan kesan negatif hasil daripada aktiviti kurang sihat sedemikian. Program ini lebih kepada aktiviti amar makruf nahi munkar, di mana ia akan melahirkan mahasiswa yang cakna tentang isu kemasyarakatan di Malaysia dan menyemai rasa tanggungjawab ke dalam diri mahasiswa akan dakwah Islamiyah. Dakwah Lapangan Homeless juga turut dilaksanakan di Masjid Jamek dan sekitar Pudu Raya pada 1-2 Februari 2014 (Sabtu dan Ahad).

Hal ini berdasarkan firman Allah s.w.t. dalam surah (Al-Jin:18)

Maksudnya:
"Dan Bahawa Sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (Ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.

Dalam ayat di atas Allah menjelaskan bahawa masjid adalah untuk beribadah dan mengiktiraf sifat uluhiyyah dan rububiyyah-Nya. Maka seorang muslim itu tidak boleh memohon pertolongan dan berdoa melainkan hanya kepada-Nya. Akan tetapi ia bukan sahaja tertumpu pada solat fardhu dan sunat malahan aktiviti yang berunsurkan ibadah juga dapat diterapkan oleh AJK dan kakitangan masjid. Sejajar dengan itu, ia adalah suatu amalan yang dituntut oleh agama Islam.

Antara ibadah-ibadah yang selalu dilakukan di masjid ialah solat fardu berjemaah, solat Jumaat, solat-solat sunat, solat jenazah, bacaan al-Quran serta amalan-amalan zikir dan wirid. Justeru itu, peranan masjid sebagai institusi ibadah dapat membangunkan kualiti peribadi mahasiswa secara menyeluruh terutama dalam aspek pembangunan sahsiah, akhlak dan kerohanian. Amalan solat berjemaah sebagai contoh secara tidak langsung akan dapat melatih seseorang mahasiswa itu berdisiplin dan menepati waktu.

Program-program tersebut termasuklah program di bulan Ramadhan, ibadah qurban, sambutan hari kebesaran Islam dan seumpamanya lagi. Namun, bagi mereka yang meninggalkan ibadah ini adalah berdosa tetapi seandainya ia dikerjakan akan mendapat ganjaran pahala yang banyak.

Sehubungan dengan itu, kedatangan Ramadhan yang amat dinanti-nantikan akan direalisasikan melalui aktiviti-aktiviti yang dapat menyerlahkan keistimewaan bulan Ramadhan. Di antara aktiviti-aktiviti ialah majlis iftar, tadarus al-quran, kuliah selepas Asar dan pelbagai lagi. AJK dan kakitangan masjid menjalankan seperti berikut;

  Majlis Iftar / Berbuka Puasa

 Program ini berjalan dengan lancar selama sebulan, khusus yang terlibat dalam program ini iaitu pelajar, pensyarah dan juga masyarakat luarnya. Majlis ini dikendalikan oleh pihak tertentu yang terdiri daripada kakitangan masjid yang diarahkan oleh AJK masjid. Ada hari-hari yang dikhususkan untuk menyediakan bubur lambuk untuk diedarkan kepada pelajar-pelajar Universiti Islam Selangor.

Justeru, pada hari-hari biasa turut disediakan makan dan minuman untuk berbuka puasa bagi para jemaah yang menunaikan solat Terawih di situ. Jumlah yang disediakan mengikut ahli jemaah yang datang berbuka sehingga akhir Terawih. Imam bagi Terawih pula dijemput dari pelajar-pelajar KUIS.

  Program Ihya’ Ramadhan

Program  ihya  ramadhan  dibuat  setiap  tahun, antara  pengisiannya  adalah   ceramah  ambang Ramadhan,  penghayatan  ramadhan, kuliah  fiqh  siyam,  majlis  berbuka  dan  moreh  bersama  Sultan Selangor,  iftar  harian  dan  iftar  perdana,sahur  untuk  qiamulalil  perdana  dan  lain-lain.Ia  menelan belanja 100,000. Dana ini adalah hasil dari sumbangan korporat, syarikat swasta dan orang  ramai.

  Pusat Menghafal al-Quran

Masjid telah digunakan sebagai pusat menghafal al-Quran. Halaqah al-Quran menjadi suatu tradisi di beberapa masjid terkemuka. Oleh itu, masjid Al-Azhar di jadikan tempat untuk menghafal al-Quran bagi  pelajar  diploma,  sarjana  muda  tahfiz  dan  pelajar  yang  mengambil  subjek  hafalan al-Quran. Setiap pagi suasana manghafal al-Quran diperkarangan masjid Al-Azhar adalah cukup mendamaikan dan dipenuhi halaqah hafalan quran.

  Ceramah dan Kuliah Agama

Sebagaimana masjid-masjid yang terdapat di negara ini. AJK Masjid Al-Azhar juga telah merangka dan melaksanakan banyak aktiviti yang berkaitan dengan ceramah dan kuliah  sepanjang tahun.. Institusi Masjid haruslah dijadikan sebagai tempat untuk mencambahkan  fikiran dengan adanya dialog, ceramah, kuliah dan sebagainya. Kumpulan-kumpulan kecil  bolehlah ditubuhkan untuk menggunakan masjid sebagai tempat untuk mempercambahkan fikiran dan menajamkan akal. Contohnya  pihak masjid telah menjemput Ulama’ khas daripada Timur Tengah iaitu Allahyarham  Syeikh Ramadhan Al-Bhuti, Syeikh Muhammad Kurayyim Rajih, Syeikh Muhammad  Muaffaq, Syeikh Mustafa Dib Al-Bugho dan Syeikh Dr.Muhammad Ali-Al-Sobuni untuk  memberi santapan rohani kepada warga UIS dan masyarakat setempat. Kuliah-kuliah juga  disemarakkan dengan kuliah subuh, maghrib dan dhuha. Antara jemputan penceramah melibatkan ustaz tersohor seperti ustaz Azhar Idrus, ustaz Don Daniel, Ust Badlishah, Syeikh Nuruddin Marbu Abdullah Al-Banjari, Ust Zainal Asri dan lain-lain.

Manakala pengajian kuliah dhuha diadakan setiap hari Sabtu, minggu pertama dan ketiga   menggunakan kitab tafsir oleh ust Ikmal Zaidi, Minggu kedua dan keempat menggunakan kitab Midraj Ul-Fawatih Fi Syarh Misykat Il Masobih. Ia dilaksanakan sebulan dua kali. Ia di mulakan pada 18 Mei 2014 (Ahad). Tazkirah agama juga dilakukan pada setiap hari selepas waktu solat fardhu yang mengambil masa hanya 15 minit sebelum memulakan kuliah  pengajian bagi hari yang berkenaan. Pada kebiasaannya tazkirah ini menyentuh tentang hal-hal isu semasa dan juga topik yang mampu menarik minat para pendengar Jemaah.

  Mengadakan Korban

 AJK dan warga UIS serta masyarakat setempat bersama-sama mengadakan ibadah qurban yang dituntut oleh agama. Orang ramai yang mengambil bahagian terdiri daripada  staf UIS dan juga masyarakat luar. Melihat kepada semangat perpaduan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh masyarakat sekitar ini wajar dicontohi oleh umat Islam masa kini.  Seperti firman Allah dalam Surah Al-Η̣ājj (22):34

Maksudnya:
Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan Ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadanya; dan sampaikanlah berita gembira (Wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat.

Sememangnya masjid secara umumnya difahami sebagai tempat peribadatan. Ibadah menurut Islam merangkumi segenap aspek kehidupan muslim. Pendidikan merupakan asas tingkah laku manusia. Ia bukan merupakan satu keistimewaan bagi golongan-golongan tertentu. Pendidikan merupakan satu proses pembelajaran yang berterusan sepanjang hayat seorang insan. Ia bermula di dalam kandungan ibu lagi sehinggalah ke liang lahad. Di sini peranan ibu bapa sangat di perlukan dalam proses pendidikan anak-anak agar mereka mudah matang dan menjadi generasi Islam yang unggul dan bertaqwa.

Masjid Al-Azhar seharusnya dimaksimakan penggunaannya bukan hanya dalam aspek ibadat semata-mata bahkan dalam aspek penyebaran ilmu juga. Budaya ilmu ini bukan hanya berbentuk ceramah atau kuliah semata-mata akan tetapi perlu dalam versi yang pelbagai. Selain itu, pembudayaan ilmu dalam kalangan mahasiswa perlu diperluaskan skopnya seperti dengan mengadakan kelas-kelas agama kontemperori iaitu masalah berkaitan realiti hari ini dan kelas- kelas ilmiah seperti sains, sejarah, dan sebagainya. Selain itu, program diskusi atau perbincangan dalam bentuk kumpulan kecil berkaitan isu semasa seperti isu kalimah Allah, isu kenaikan harga barang, isu pluralisme dan seumpamanya perlu diadakan secara berkala dalam membentuk mahasiswa yang peka pada suasana mereka.

Hal ini akan memberi impak dalam melihat sejauh mana keperihatinan, penilaian, pembacaan dan penerimaan mahasiswa terhadap sesuatu isu. Selain itu, program ini penting sebagai persediaan diri mereka sebagai pemimpin dalam mengawal, memahami, menilai, membaca dan menempuh cabaran yang pastinya lebih mencabar berbanding hari ini.

  Daurah

Masjid Al-Azhar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) komited untuk menganjurkan program ilmiah berbentuk turathi dan talaqqi yang telah menjadi warisan tamadun Islam sejak zaman Rasulullah S.A.W dan terus berkesinambungan dari satu generasi ke generasi serta berjaya melahirkan ulama rabbani yang telah menghiasi sejarah peradaban Islam. Program ilmiah ini begitu sinonim dengan proses Ta’dib yang dicanangkan oleh pihak pengurusan KUIS sekaligus membantu proses transformasi  yang  ingin dibawa. Tambahan, kehadiran ulama yang berwibawa yang memimpin program  ini  sudah tentu akan merancakkan lagi agenda Ta’dib ini. Program ini juga bertepatan dengan slogan “Masjid Sebagai Qalbu Universiti” yang dilihat tidak lari dengan manhaj talaqqi dan turath yang menjadi asas program ilmiah ini.

  • Daurah Talaqqi Kitab
    Sepanjang semester dua sesi 2013/14 Talaqqi kitab Hidayatus Sibyan telah diadakan setiap tengahari sebelum zohor iaitu dari hari Isnin hingga Khamis yang di sampaikan oleh Ustaz  Nasaruddin Awang di Masjid Al-Azhar. Daurah cuti semester telah diadakan pada 5-11 April 2014. Daurah ini di sampaikan oleh Dr Faisal Muhamad dan Ustaz Nasaruddin Awang. Antara kitab yang digunakan adalah Kitab Nukhbatul Fikar (Mustholah Hadis), Matan Umm Barahin (Aqidah). Pengajian ini dimulakan jam 9 pagi dan berakhir jam 11 malam sepanjang daurah dijalankan. Di harapkan dengan adanya budaya ilmu ini, Masjid al-Azhar juga dapat melahirkan insan yang berilmu berakhlak dan mampu menjadi dai’, ulama dan umarak suatu hari nanti.

  • Daurah Al-Quran Fi Qalbi (DAQIQ 2013)
    Program  ini  telah  berlangsung  selama  5  hari  bermula  dari  23-27  Disember  2013.  Dengan  objektif utamanya iaitu memantapkan bacaan melalui tasmik dan hafazan juz juz amma, program ini berjaya mendapat 86 orang peserta dari lingkungan usia 7 sehingga  14 tahun. Selain menghafaz, para peserta juga didedahkan dengan aktiviti sukan memanah sunnah dan juga beberapa siri pengisian yang disampaikan iaitu Ustaz Don Daniyal Biyajid, Ustaz Syarul Azman, Saudara Amin Idris dan juga Pn Salima Habibi.
  Kursus, Seminar dan Bengkel

Program-program ini didirikan di atas dasar asas-asas yang menyeluruh dari aspek kognitif, sosial, emosi, fizikal, moral dan kreativiti  yang  berpaksi  kepada  akidah  dan  rohani  yang  mantap. Setiap program yang anjurkan adalah menepati keseimbangan dan setara  dengan keperluan pembangunan material dengan pembinaan diri insani iaitu meletakkan tauhid dan keimanan sebagai identiti utama. Pihak AJK masjid telah  mengadakan beberapa bengkel, seminar antaranya bengkel usrah dan Badar di Nilai,  Negeri Sembilan pada hari Rabu, 30 April 2014 yang lepas. Ianya bertujuan membincangkan program-program usrah kepada pelajar KUIS, manakala BADAR membincangkan prosedur dan proses kerja dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan di dalam KUIS. Seminar Antarabangsa Masjid, Zakat dan Wakaf.

  Pusat Menghafal Al-Quran

Masjid telah digunakan sebagai pusat menghafal al-Quran. Halaqah al-Quran menjadi suatu tradisi di beberapa masjid terkemuka. Oleh itu, masjid Al-Azhar di jadikan tempat untuk menghafal al-Quran bagi pelajar diploma, sarjana muda tahfiz dan pelajar yang  mengambil subjek hafalan al-Quran. Setiap pagi suasana manghafal al-Quran diperkarangan masjid Al-Azhar adalah cukup mendamaikan dan dipenuhi halaqah hafalan quran.

  Menguruskan Usrah

Masjid Al-Azhar mengendalikan usrah kepada pelajar, staf kuis, khas kakitangan muslimah (yang dikenali sebagai Halaqah Mahabbah Muslimah Masjid) sebagai contoh Halaqah Mahabbah ini diadakan khusus untuk staf wanita yang menetap di kuarters kakitangan, felo wanita isteri / AJK Masjid bersama isteri Nazir iaitu Datin Muhibah. Dengan asas tuntutan ukhuwah dan perkongsian ilmu, halaqah dimulai dengan bacaan Surah Yassin, Solat Isyak’ Berjemaah dan  kupasan buku “Indahnya  Hidup  Bersyariat” disampaikan oleh Ustazah Safinah binti Ismail. Halaqah ditamatkan tepat jam 10.00 malam dengan juadah ‘potluck’. Bertempat di rumah Rektor KUIS, halaqah mahabbah, sebanyak 2 kali pertemuan iaitu pada 14 Februari 2014 dan 19 Mac 2014 telah diadakan dengan kehadiran seramai 15 orang pada setiap sesi. Bagi memudahkan urusan, BHEM dengan kerjasama Nisa’ Alam menyediakan khidmat nurseri atau aktiviti untuk si cilik yang turut serta bersama para ibu ke halaqah.

  Menerbitkan Bahan Bercetak

Penerbitan bahan-bahan bercetak ini tidak dinafikan juga turut memainkan peranan penting dalam penyebaran dakwah Islamiah dan juga proses memperkembangkan minda  masyarakat ke arah pembentukkan akidah yang sempurna. Justeru itu, pihak masjid  telah  menerbitkan bahan-bahan bacaan seperti risalah-risalah agama berkaitan dengan bulan  Islam, risalah umum dalam Soutul Masjid, Buletin al-Azhar dan sebagainya.

  Kids Friendly

Tiap-tiap orang kanak-kanak adalah didedahkan kepada pendidikan di rumah dan kemudiannya di sekolah. Masjid boleh dijadikan pusat pelengkap adab, sopan-santun dan sebagainya. Dengan kata lain, Institusi Masjid bolehlah dijadikan “finishing school”. Perkarangan masjid dapat menampung berbagai-bagai keperluan dalam usaha membantu pertumbuhan jasmani kanak-kanak sesuai dengan besarnya dorongan untuk bergerak (bermain dan bekerja) pada kanak-kanak.

Di antara aktiviti  yang dapat menanam hubungan kanak-kanak dengan masjid adalah seperti latihan (memanah) jasmani, olahraga, berbagai-bagai jenis perlumbaan dan pertandingan yang berbentuk ilmiah dan galakan seperti pertandingan mewarna dan sebagainya telah diadakan diperkarangan masjid KUIS atas dasar inilah pihak masjid banyak menganjurkan aktiviti untuk kanak-kanak. Dengan kerjasama dan sokongan yang kuat daripada pelbagai pihak seperti ADUN Bangi, Al-Azhar Members (ALAM) dan Persatuan Penduduk. Dengan adanya kerjasama ini maka terlaksanalah pelbagai program  yang dianjurkan. Di antara program yang dianjurkan termasuklah Daurah al-Quran fi Qalbi (DAQIQ 13) dalam usaha menjadikan masjid Al-Azhar sebagai masjid Kids friendly.

  Khutbah

Aspek penting dalam penyebaran dakwah terhadap masyarakat bagi memberi kesedaran yang memberansangkan. Namun, ia perlu diurus oleh yang arif kerana jika khatib yang tidak berpengalaman dalam komunikasi dengan orang ramai atau tidak fasih dengan bahasa-bahasa baru maka, sesebuah khutbah itu di  nilai sangat lemah dan tidak ‘hidup’ kerana khatib tersebut tidak pandai menarik perhatian jemaah atau audiens yang mendengar malah akan membuatkan jemaah sering tertidur. Selain itu juga, jiwa seseorang muslim akan terisi dengan ilmu Islam dan mendengar khutbah Jumaat secara tidak langsung dapat menunaikan sembahyang Jumaat.

Manakala bagi mereka yang tidak berkelapangan untuk mengikuti program-program keagamaan yang diadakan di masjid, maka sekurang-kurangnya dengan mendengar khutbah Jumaat setiap minggu sekali itu diharap dapat menambah ilmu pengetahuan dan membuka minda mereka yang cetek agama. Para AJK dan kakitangan masjid berjaya dalam gaya penyampaian khutbah Jumaat serta dapat menarik minat dan memberi kesan yang mendalam kepada hadirin mendengar dengan menjemput khatib jemputan setiap sebulan sekali selain dari AJK masjid. Terdapat sebilangan besar jemaah yang datang adalah dari kalangan warga KUIS, penduduk sekitar Bandar Seri Putra dan Bukit Mahkota dan yang berdekatan dengannya. Namun, yang dapat dilihat keberkesanan khutbah itu ialah masyarakat luar juga turut tidak melepaskan peluang mengikuti kuliah sebelum solat Jumaat itu. Khutbah disini terbahagi kepada dua iaitu khutbah Jumaat dan khutbah Hari Raya.